Persoalan begini sering diajukan bilamana ada pemilik rumah yang hubungi saya. Ada yang sudah iklankan rumah mereka lebih dari 6 bulan tetapi masih sama juga. Sebenarnya persoalan begini pasti ada sebabnya. Berikut saya cuba rungkaikan berdasarkan pengalaman selama 12 tahun saya sebagai Perunding Hartanah Berdaftar.

Ada 3 faktor utama yang menentukan sesebuah hartanah atau rumah itu mudah terjual.
1. Harga
2. Lokasi
3. Unit Selling Point

Dalam apa sahaja yang anda jual, harga sangat memainkan peranan. Apatah lagi nak jual hartanah atau rumah. Bukanlah bermakna rumah yang anda nak jual tu kena terlalu murah. Tetapi harga itu harus kompetitif dan menepati harga pasaran. Sebuah rumah itu perlu dinilai mengikut harga pasaran semasa. Saya beri contoh, jika harga pasaran terkini persekitaran rumah anda itu dalam RM300k dan anda pula iklankan dalam RM350k makanya harga anda mahal. Jadi bakal pembeli akan merasakan dia akan beli lebih dari sepatutnya. Apatah lagi jika ada pilihan lain yang boleh untuk pembeli beri tumpuan. Bayangkan jika anda pula sebagai pembeli, pastinya anda akan meneliti dahulu sebelum membuat pilhan bukan?
Oleh yang demikian, penetapan harga ini sangat penting dan menjadi faktor paling utama jika anda mahu menjual rumah anda. Nasihat saya, dapatkan dahulu nilaian semasa hartanah anda. Anda boleh melantik pihak jurunilai atau merujuk kepada pihak bank. Cara lain, anda boleh hubungi ejen hartanah yang mahir di kawasan sekitar rumah anda.

Lokasi juga sangat memainkan peranan untuk rumah anda terjual dengan cepat. Tempat yang sudah ada banyak kemudahan seperti sekolah, pasaraya serta akses yang mudah. Perumahan yang dilengkapi kemudahan yang banyak akan lebih mudah terjual. Dalam erti kata lain, kawasan yang sudah “mature” pastinya menjadi tumpuan bakal pembeli. Jika lokasi rumah anda menjadi pilihan atas sebab di atas, maka harga juga pasti sangat menarik dan ada nilai. Oleh yang demikian, jika rumah anda kurang kemudahan dan sedikit jauh dari akses ke bandar utama ia memberi gambaran perlu ambil sedikit masa untuk menjual atau anda boleh turunkan harga untuk menarik bakal pembeli.

Haaa… ini point yang perlu diberi perhatian. apa itu “unit selling point”? Sesebuah rumah ada suatu daya penariknya yang tersendiri. Sebagai contoh, rumah mengadap padang permainan atau mengadap kawasan terbuka. Ini kelebihan sebab persekitaran luaran luas akan buat bakal pembeli lebih berminat. Jadi kebiasaan ejen akan tekankan hal ini dalam rundingan dan promosi mereka.
Hal lain yang berkaitan juga seperti rumah yang sudah ada renovasi, kekemasan rumah serta ada gift tertentu (aircond, awning dan lain-lain) juga boleh diklasifikasikan sebagai unit selling point. Jika rumah anda telah ada ketiga kreatiria ini, adalah sesuatu yang mustahil untuk rumah anda tidak terjual.

Kesimpulannya, kesemua elemen ini saling berkait rapat. Selebihnya bergantung pada bagaimana anda iklankan rumah anda. Peranan anda memainkan gambar yang cantik untuk menarik minat serta kepakaran anda dalam rundingan jual-beli. Macam saya, kalau sudah ada 3 perkara ini saya berani jamin rumah boleh jual dalam tempoh tertentu.

Jika anda perlukan khidmat saya atau nak tanya apa-apa, boleh hubungi saya pada talian 012-5071604 atau email ke anasharta@gmail.com. Senang anda klik saja pada ikon whatsapp di hujung tu, saya akan layani anda dengan sebaiknya.



Anda dapat sesuatu? Terima kasih